KENYATAAN AKHBAR



Tarikh : 1/20/2009
Penulis : editor; Gambar: zool

KENYATAAN AKHBAR
YANG AMAT DIHORMATI, DATO’ SETIA HAJI MOHAMAD ADZIB MOHD ISA. PENGERUSI
MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR, MENGENAI HAL EHWAL ZAKAT SELANGOR PADA 19 JANUARI 2009

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Y.Berbahagia Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar, Pengurus Besar Lembaga Zakat Selangor,

Terima kasih kepada wakil-wakil media yang hadir pada hari ini, sukacita saya ingin memaklumkan beberapa perkara mengenai prestasi kutipan dan agihan zakat bagi tahun 2008 serta isu-isu semasa mengenai zakat.

1. Kutipan zakat (harta dan fitrah)

Alhamdulillah bagi tahun 2008, jumlah kutipan zakat di selangor telah melebihi sasaran (RM222 juta) dengan jumlah kutipan sebanyak RM244.4 juta berbanding RM202.1 juta dalam jangkamasa yang sama tahun sebelumnya (2007). Jumlah ini meningkat sebanyak 21 peratus dengan perbezaan sebanyak RM42.3 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM232.1 juta dikutip daripada zakat harta, manakala RM12.3 juta daripada zakat fitrah.

2. Zakat harta

Pada tahun lepas (2008) kutipan zakat harta di selangor meningkat sebanyak 22 peratus daripada kutipan pada tahun sebelumnya (2007).

Pecahan kutipan zakat harta mengikut jenis adalah seperti berikut:

Zakat pendapatan RM130.7 juta (RM 130,699,399.93)
Zakat perniagaan RM46.1 juta (RM 46,109,152.95)
Zakat harta RM24.3 juta (RM 24,330,739.05)
Zakat w.simpanan RM22.1 juta (RM 22,111,956.49
Zakat kwsp RM4.6 juta (RM 4,609,383.34)
Zakat saham RM1.3 juta (RM 1,271,759.33)
Zakat tanaman RM1.7 juta (RM 1,698,833.75)
Zakat emas, ternakan, perak dan qadha zakat RM1.3 juta (RM1,301,643.92)

3. Jumlah pembayar

Jumlah pembayar zakat harta bagi tahun lepas ialah seramai 146,413 orang (meningkat 17 peratus daripada tahun sebelumnya (125,294 orang). Daripada jumlah tersebut, seramai 34,343 orang merupakan pembayar baru.

4. Zakat fitrah

Bagi tahun 2008, mais melalui LZS telah mengutip zakat fitrah sebanyak RM12.3 juta bagi tahun hijrah 1429 berbanding RM11.6 juta pada tahun 2007. Bilangan umat islam yang membayar zakat fitrah pada tahun lepas (2008) ialah seramai 2.4 juta orang.

5. Sasaran kutipan tahun 2009

Mengambil faktor keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kesan krisis yang dijangka berterusan sepanjang tahun ini, maka LZS meletakkan sasaran yang munasabah dan boleh dicapai. Dengan mengambil kira implikasinya kepada sektor swasta terutamanya sektor perniagaan dan perkilangan, maka LZS meletakkan sasaran RM235 juta kutipan zakat pada tahun ini.

6. Agihan zakat

Pada tahun 2008 yang lalu, mais melalui LZS telah mengagihkan wang zakat kepada golongan yang layak di selangor sebanyak RM198.5 juta berbanding RM177 juta pada tahun sebelumnya (2007). Jumlah pengagihan ini dilihat meningkat sebanyak 12 peratus dengan perbezaan sebanyak RM21.5 juta.

Pecahan pengagihan zakat mengikut asnaf adalah seperti berikut:

Asnaf miskin RM54.2 juta (RM 54,215,439.19)
Asnaf fakir RM12.9 juta (RM 12,877,843.35)
Asnaf fisabilillah RM66.6 juta (RM 66,597,975.61)
Asanaf muallaf RM12.2 juta (RM 12,183,320.06)
Asnaf gharim RM19.4 juta (RM 19,380,018.66)
Asnaf amil RM30.3 juta (RM 30,250,000.00)
Asnaf riqab RM2.3 juta (RM 2,307,983.21)
Asnaf ibnu sabil RM0.7 juta (RM 701,128.45)

Bilangan fakir yang menerima bantuan pada tahun lepas ialah seramai 9,583 orang berbanding 672 orang pada tahun 2007, manakala 5,879 orang bagi asnaf miskin berbanding 8,780 orang pada tahun sebelumnya.

7. Hala tuju dan fokus LZS bag tahun 2009

Berdasarkan kepada sasaran pada tahun ini, maka LZS meletakkan fokus utama iaitu ‘transformasi sistem peyampaian agihan zakat’ bagi mencapai sasaran tersebut.

Transformasi ini bukan beRMaksud apa yang dilaksana oleh LZS sebelum ini tidak berjaya ataupun gagal, tetapi ia lebih kepada penambahbaikan kepada sistem yang sedia ada. Malah melalui strategi ini juga dilihat mampu menarik dan meyakinkan masyarakat untuk terus menunaikan zakat di LZS. Antara kaedah-kaedah yang akan dilaksana melalui strategi ini ialah:

1.Menjadikan sistem pengoperasian kerja ke arah ‘totally ict driven’ menerusi ‘total reengineer’ sistem agihan zakat.
2.Mempercepatkan proses penyampaian agihan zakat
3.Mengurangkan kadar kemiskinan di negeri selangor sebanyak 10 peratus pada tahun 2009

Antara langkah awal, kelulusan dan bayaran segera permohonan bantuan zakat di bawah RM3,000 akan di laksana selewat-lewatnya bulan mac ini.

8. Bantuan zakat untuk gaza, palestin

Seperti kita semua maklum, rakyat palestin ketika ini sedang bergelut dengan tragedi kemanusiaan yang amat dahsyat angkara kekejaman tentera Israel. Sebagai tanda keprihatinan dan dengan perkenan DYMM sultan selangor, maka MAIS melalui LZS akan meyumbang sebanyak RM1 juta bagi membantu rakyat palestin yang menderita di gaza. Bantuan melalui asnaf fisabilillah ini akan disampaikan sendiri oleh dymm tuanku melalui yayasan amal selangor dalam masa terdekat.

Dalam masa yang sama, LZS akan menempatkan tabung untuk rakyat palestin di semua 22 cawangan di selangor mulai hari ini, bagi memudahan orang ramai khususnya pembayar zakat untuk menyumbang. Sumbangan juga boleh dibuat melalui portal LZS di www.zakatselangor.com.my.

9. Bantuan zakat kepada rakyat negeri Selangor yang kehilangan pekerjaan akibat krisis ekonomi

Saya ingin memaklumkan, mais melalui LZS akan memperuntukkan sebahagian wang zakat bagi membantu meringankan beban rakyat negeri selangor yang kehilangan pekerjaan akibat krisis ekonomi yang berlaku ketika ini. Kita sedia maklum, bahawa mereka yang terlibat ini terutamanya yang sudah berkeluarga menghadapi masalah kewangan yang mendesak kerana pemberhentian mereka adalah di luar jangkaan.

Walau bagaimanapun, satu mekanisma akan dikenal pasti bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lancar terutamanya dari segi teknikal. Sehubungan itu, satu pekeliling mengenai perkara ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

10. Tahun zakat selangor 1430h (TZS 1430h)

Pada tahun ini, iaitu genap usia penubuhan LZS yang ke-15 tahun, satu kempen secara menyeluruh bagi meningkatkan kutipan zakat akan dilaksanakan melalui penganjuran aktiviti-aktiviti yang menyokong usaha melaksana strategi serta fokus LZS bagi tahun 2009.

Antara objektif TZS 1430 H ialah:

(1)Merayakan ulangtahun ke-15 penubuhan LZS.
(2)Melaksana perubahan penyampaian sistem agihan melalui lima program utama agihan zakat yang dijenama semula.
(3)Memaksimakan kutipan zakat sekurang-kurangnya mencapai sasaran yang ditetapkan melalui strategi terancang dan mesra pelanggan.
(4)Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kewajipan berzakat dan potensi kutipan zakat.

Dengan tema ‘meneraju perubahan’, kempen TZS 1430 H ini merupakan komitmen LZS terhadap pengurusan zakat yang lebih cekap dan melaksanakan penambahbaikan dalam sistem penyampaiannya.

Sekian.