CATATAN ZIKRA DARI KACA MATA REHAL



Catatan Wartawan Rehal, Sinar Harian iaitu Roshlawaty Raieh, yang mengikuti Program Zikra baru-baru ini.

Awal Jun lalu, penulis menerima email dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang mempelawa penulis dan rakan media lain menyertai ‘Program Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf’ (Zikra)pada 7 Jun baru-baru ini. Melihat tentatif program, ternyata Zikra menarik perhatian untuk disertai kerana banyak persoalan berkaitan zakat dapat dirungkai.

Sekurang-kurangnya penyertaan kami mampu menyelesaikan polemik dan persoalan masyarakat tentang hala tuju wang zakat itu. Secara peribadi, apa yang penulis lihat sepanjang lawatan itu, setiap wang zakat yang dikutip, diagihkan secara telus dan adil oleh pihak terlibat, malah pengagihan dilakukan tanpa mengambil kira latar belakang dan fahaman politik dan paling menggembirakan, mereka yang layak segera dibantu.

Zikra menyentuh hati

Zikra adalah program tahunan LZS dan penganjurannya membuka mata ramai pihak untuk melihat sendiri bagaimana organisasi tersebut menjalankan peranannya berkaitan pengagihan zakat dengan lebih cepat dan efisien. Ia diadakan bertujuan mendedahkan aktiviti agihan secara langsung kepada umat Islam, di samping mendapatkan maklum balas secara terus daripada peserta.

Seramai 80 peserta terdiri daripada pembayar zakat, ejen kutipan dan pihak media menyertai program sehari itu, bermula 8 pagi hingga 5 petang. Ia ternyata memberi seribu erti keinsafan pada mereka yang mengambil bahagian kerana melihat sendiri kehidupan asnaf zakat dengan lebih dekat.

Sejujurnya penulis berasakan golongan asnaf ini begitu tabah menghadapi kehidupan mereka yang serba kekurangan. Malah, kesabaran yang mereka miliki itu adalah kekayaan rohani yang besar dan ia sebagai pangkal kebahagiaan.

Penulis bangga dengan asnaf-asnaf zakat di negeri ini dan juga di negeri lain, walaupun menghadapi kehidupan yang serba getir, namun semuanya mampu diharunginya.Betullah kata pujangga, hidup tanpa kesusahan, penderitaan, dugaan dan cabaran bagaikan nasi tidak berkuah, susah senang adalah asin kerana itulah rencah kehidupan.

Seawal 8.15 pagi, peserta berkumpul di pekarangan Pusat Latihan Asnaf Zakat Selangor (PULAZ), Wisma Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Shah Alam, Selangor. Beberapa penerangan berkaitan program Zikra disampaikan Pengarah Projeknya, Hamizul Abdul Hamid merangkap Ketua Unit Perhubungan Awam, LZS. Selepas itu, Pengurus Besar Akademi Zakat Selangor (Azas), Dr Ruziah Ghazali mengambil alih dan menerangkan latar belakang Azas kepada peserta.Seterusnya, peserta dibawa melawat ke Pusat Dialisis MAIS, terletak di wisma sama. Pusat Dialisis ini satu daripada empat pusat dialisis yang dibina LZS, antaranya di Sungai Besar (Sabak Bernam), Kuala Selangor dan Batu 4 (Kapar, Klang). Penubuhannya untuk membantu umat Islam khususnya asnaf fakir dan miskin yang mengalami sakit buah pinggang dan meringankan beban dihadapi serta memberi pengisian rohani kepada pesakit.

Ketika berada di sini, peserta diberi penerangan ringkas oleh Eksekutif Klinikal, Nor Hafzam Mohammad dan beberapa jururawat yang bertugas berkaitan operasi pusat tersebut.

Katanya, sejak beroperasi empat tahun lalu, jumlah pesakitnya bertambah dari semasa ke semasa.Berdasarkan rekod, jumlah terkini sedang menerima rawatan di pusat itu seramai 54 orang dan dikendalikan 13 kakitangan yang bekerja dalam tiga syif.

Nor Hafzam berkata, pusat dialisis di Shah Alam dibuka setiap hari kecuali Ahad bermula 7 pagi hingga 9 malam. Katanya, 90 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan di situ terdiri kalangan asnaf di bawah tajaan LZS.

“Selebihnya orang awam yang datang untuk mendapatkan rawatan di sini,” katanya.

Menangani keciciran

Berakhir lawatan ke pusat dialisis, penulis berserta rombongan dibawa menaiki bas yang disediakan untuk ke lokasi seterusnya. Kami dilepaskan Timbalan Pengurus Besar, Pejabat Kutipan LZS, Adibah Abdul Wahab sekali gus simbolik pelancaran konvoi Zikra

Setibanya di Kampung Perepat, Klang, peserta dibawa melawat Asrama Baitul Hasanah LZS, iaitu asrama terbesar anak-anak asnaf fakir dan miskin yang didirikan bagi menangani keciciran pendidikan anak-anak berkenaan. Buat masa ini, terdapat tiga asrama Baitul Hasanah iaitu di Kampung Perepat (Klang), Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Pengurus Baitul Hasanah, Mohd Rodhi Abu Hashim berkata, asrama itu boleh memuatkan 288 pelajar pada satu-satu waktu tetapi buat masa ini mereka hanya mengisi 126 penghuni.Pihaknya amat mengalu-alukan segala bentuk sumbangan, terutama bahan-bahan bacaan, komputer, kipas angin dan tiga penghawa dingin, memandangkan kos perbelanjaan pengurusan, persekolahan, wang saku dan sebagainya mencecah RM60,000 sebulan.

Destinasi diteruskan ke rumah asnaf, Mohzain Ali, 48, di Rantau Panjang, Klang. Mohzain merupakan asnaf miskin, menerima bantuan pembinaan rumah baru. Beliau didaftarkan sebagai asnaf miskin sejak tiga tahun lalu.

Bapa tunggal tiga orang anak itu melahirkan kegembiraan kepada semua pihak terutamanya LZS yang membina sebuah rumah bernilai RM38,000 dilengkapi tandas, bilik, ruang tamu serta kemudahan bekalan elektrik dan air.

“Sebelum ini saya tinggal di rumah pusaka yang telah uzur. Mujurlah ada pihak sudi membantu. Jika tidak, saya sendiri pun tidak tahu bagaimanalah nasib menimpa kami sekeluarga,” ujar bapa tunggal kematian isteri sejak dua tahun lalu itu.Rumah bina baru merupakan salah satu bentuk bantuan untuk asnaf fakir, miskin dan mualaf. Bantuan disediakan kepada asnaf yang mempunyai tapak rumah sendiri.

Sebelum rombongan diteruskan ke destinasi terakhir di Pangsapuri Barakah, di Subang Bistari, penulis sempat memandang beberapa peserta Zikra yang menghulurkan sumbangan wang tunai kepada Mohzain. Kata mereka, sekurang-kurangnya sumbangan kecil yang diberikan itu mampu meringankan beban Mohzain dan anak-anak.

Penempatan asnaf fakir, miskin

Destinasi terakhir ke Pangsapuri Barakah – perumahan berkelompok asnaf fakir dan miskin bagi menangani masalah kemiskinan bandar. Status asnaf yang tinggal di sini bersifat sementara bagi membolehkan mereka mendapat tempat tinggal baru. Sehingga kini terdapat lapan pangsapuri dengan jumlah 180 rumah disediakan antaranya di Kajang, Klang Sepang dan Puchong. Salah satu daripadanya, Pangsapuri Barakah Purnama Subang Bistari – sebanyak 100 unit rumah disediakan di sini dan 30 unit telah diduduki asnaf memerlukan.

Ketika penulis berada di sini, empat rumah asnaf sempat diziarahi iaitu rumah Amin Ooi Abdullah, Mohamad Nizam Jalil, Norhisham Omar dan Hazizah Mohamad. Masing-masing gembira dengan kedatangan kami.

Berakhirnya sesi menziarahi ke rumah asnaf, rombongan dibawa ke tapak letak kereta pangsapuri berkenaan bagi mendengar amanat disampaikan Adibah. Sebelum majlis perasmian penutup dilaksanakan olehnya, kami dihidangkan persembahan nasyid oleh Kumpulan As-Saufi yang mendendangkan beberapa buah lagu, antaranya Sumaiyah dan Intifada. Sejurus itu. sebanyak RM98,350 bantuan zakat diagihkan kepada 10 asnaf, antaranya Mohd Razali Md Bahari menerima bantuan rawatan dialisis berjumlah RM20,520, Nur Hafizan Ahmad Dayar menerima bantuan CAPD RM22,500 dan Radzuan Usat menerima bantuan modal perniagaan berjumlah RM20,000.

Selesai penyerahan bantuan, majlis perasmian penutup disempurnakan Adibah dan semua bersama-sama menikmati jamuan makan tengah hari yang disediakan.