ANUGERAH CEMERLANG AKHIRAT



Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Dalam sektor pekerjaan sama ada awam mahu pun swasta, kita semua pasti pernah mendengar kalimah ‘Hari Anugerah Kualiti’ atau ‘Hari Anugerah Kecemerlangan.’ Biasanya, program yang bersifat tahunan ini diadakan oleh sesebuah jabatan, organisasi atau syarikat, demi mengiktiraf sumbangan yang telah diberikan oleh kakitangannya terhadap kejayaan organisasi dalam mencapai matlamatnya.

Maka, pelbagai anugerah telah disajikan, misalnya Anugerah Kakitangan Terbaik, Anugerah Inovasi, Anugerah Kakitangan Contoh dan sebagainya. Pendek kata, semuanya menyatakan bahawa orang yang mendapat anugerah-anugerah ini adalah manusia yang terbaik di dalam organisasi atau syarikat terbabit.

Selalunya juga, pengiktirafan sedemikian adalah mukaddimah kepada kenaikan pangkat dan gaji, atau lain-lain insentif yang pastinya menjadikan anugerah itu lebih bererti. Teringat saya betapa seorang rakan saya dapat mengerjakan umrah percuma selepas diisytiharkan pekerja cemerlang, manakala seorang lagi teman saya, menerima anjakan tangga gaji yang cukup bermakna.

Hakikatnya, anugerah demi anugerah yang diberi, sering menjadikan kita berlumba-lumba ingin memilikinya. Namun, anugerah di dunia ini hanya terbatas kepada hadiah, kenaikan pangkat, gaji atau paling tinggi mendapat tiket menunaikan umrah ke Mekah. Maka, apakah tiada anugerah lain yang jauh lebih mewah dan hebat berbanding anugerah di atas dunia ini?

Maka, jawapannya sudah pasti ada. Itulah namanya ‘Anugerah Kecemerlangan Akhirat.’ Anugerah yang disediakan oleh Allah SWT tanpa had. Sesiapa pun mampu menggapainya. Bukan seorang dalam seribu, malah sesiapa sahaja juga mampu. Bahkan imbalan yang tersedia lanjutan daripada anugerah itu juga amat besar maknanya. Itulah nikmat kehidupan akhirat di dalam syurga, yang tidak mampu dinukilkan dengan pena atau difikirkan oleh minda.

Rasulullah SAW pernah memberitahu bahawa Allah SWT telah berfirman yang maksudnya: “Aku menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang saleh apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan belum pernah terlintas dalam benak manusia (di syurga),” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nah! Kehidupan syurga adalah kehidupan penuh nikmat nan abadi. Meneguk air daripada sungai-sungainya yang jernih sekali, atau sungai daripada susu, arak dan madu, bagaikan tidak mampu dibayangi akal walau sejengkal. Sungai susu yang amat enak, sungai madu yang lazat bersari dan apakah itu semua ada di dunia ini?

Allah SWT menukilkan: “(Apakah) perumpamaan (penghuni) jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari khamar (arak) yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring.” (Surah Muhammad: 15)

Inilah anugerah Allah SWT bagi kalangan manusia, yang sewaktu mencicipi jangka masa hayatnya di atas dunia, mereka berada di atas landasan iman dan takwa. Tidak menzalimi orang lain, apatah lagi kala mereka ditampuk kuasa. Mereka menanggung amanah dengan pasrah. Mereka mengadili manusia secara penuh hikmah. Mereka melestarikan kebahagiaan hidup dengan orang lain, menurut cara sunnah.

Inilah manusia yang dianggap paling ideal, sesuai dengan sabdaan Nabi Muhammad SAW dalam mendeskripsikan sosok pemimpin sejati: “Ketahuilah! Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinanmu. Seorang ‘amir (ketua) yang berkuasa terhadap rakyat akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah tangga suami dan anak-anaknya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang hamba sahaya adalah pemimpin atas harta kekayaan majikannya yang dipercayakan kepadanya. Dia juga akan ditanya tentang kepimpinannya. Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya,” (hadis riwayat Muslim).

Dalam konteks pekerjaan dalam sesebuah jabatan, kementerian, organisasi atau syarikat, tiada mengira di mana kedudukan kita, sama ada seorang Pengurus Besar atau penjaga stor dan tukang sapu, maka kita adalah pemimpin dalam lingkungan yang sedang kita diami kala itu.

Maka, cocok dengan sabdaan nabi di atas, kita wajib memikul amanah kepemimpinan berkenaan sebaik-baiknya. Apatah lagi jika kita berada di posisi paling atas, menjaga kebajikan pekerja bawahan, maka kesilapan kita dalam mengambil keputusan dan melaksanakan ketetapan, ia bakal memudaratkan ribuan insan.

Jadilah kita seperti Nabi Muhammad SAW, pemimpin unggul yang dicatatkan oleh Michael H. Heart sebagai ‘pemimpin terbaik’ yang pernah dimiliki dunia. Namun, jika tidak mampu, contohilah tingkah laku dan akhlak kepimpinan para sahabat nabi yang telah mendapat tuntunan. Khalifah Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Umar Abdul Aziz, Muhammad al-Fateh, Salahuddin al-Ayubi dan ramai lagi. Inilah karakter yang dijamin syurga, kerana menegakkan agama dalam diri dan negara, lewat anugerah kepimpinan yang diberikan kepada mereka.

Berbalik kita kepada anugerah kecemerlangan akhirat, adakah kita sudah layak memilikinya? Jika ya, Alhamdulillah; jika tidak, astaghfirullah. Jika tidak pasti; berusahalah! Wallahua’lam.