4 HARI 3 MALAM KE UTARA – siri 1



Oleh Hamizul Abdul Hamid yang turut serta dalam delegasi ke Utara dari 2 – 5 April 2011

3 April 2011 (Ahad)

Ziarah sambil belajar dan silaturrahim Lembaga Zakat Selangor (LZS) ke utara Semenanjung berjalan lancar. 15 orang kakitangan daripada pelbagai jabatan menyertai delegasi ke tiga negeri, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Bas Baitul Hasanah milik LZS mendesit laju di lebuh raya. Hasrat LZS hanya satu, iaitu menerokai ruang-ruang baharu dalam dunia agihan zakat yang mungkin belum diterobos oleh LZS dan juga menjalin komunikasi pelbagai hala yang mungkin dapat dimanfaatkan demi pembangunan zakat di setiap negeri.

Hari Ahad, subuh hening lagi delegasi LZS sudah tiba di perkarangan Masjid Albukhari, Kedah. Masjid cantik dengan senibina indah ini dijadikan lokasi pertama rombongan LZS. Usai solat Subuh berjamaah dan merapikan diri, kami meneruskan tujuan ke Menara Zakat.

Menara Zakat adalah bangunan milik penuh Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK). Uniknya, di Kedah institusi zakat mereka tidak diletakkan di bawah Majlis Agama Islam Kedah; sebaliknya berdiri sendiri sebagai sebuah jabatan. Unggulnya juga JZNK ini, kerana merekalah satu-satunya institusi zakat di Malaysia yang awal-awal lagi sudah mempunyai gedung sendiri. Sebuah menara yang gagah berdiri di pinggiran jalan raya dan menjadi intaian semua orang. Ia dibina dan siap pada 1987.

Ketibaan delegasi LZS di JZNK telah disambut dengan ceria oleh YBhg Dato’ Syeikh Ghazali bin Haji Yaacob, Setiausaha Jawatankuasa Zakat Kedah dan juga kakitangan JZNK. Kami dibawa bersarapan dan selepas itu ke Dewan Aras 1 bagi mengikuti taklimat.

Taklimat telah disampaikan oleh Y.Bhg Dato’ Syeikh Ghazali bin Haji Yaacob. Beliau menyatakan LZS merupakan contoh bagi pusat zakat seluruh negara dan banyak perkara yang boleh dipelajari daripada LZS. ‘Kembang’ jugalah hati dan hidung kami delegasi LZS dipuji begitu. Hakikatnya, LZS sendiri masih banyak kelompangan yang perlu diperbaiki. Atas dasar itulah LZS mahu mencari pengalaman di negeri orang.

Sesi dialog menyaksikan banyak persoalan dibincangkan. LZS dan JZNK sebenarnya berkongsi senario yang sama dalam mengendalikan urusan zakat. Misalnya, bagaimana menangani isu kepercayaan masyarakat, cabaran dalam memperkasakan dakwah dan meningkatkan kutipan, memastikan agihan merata kepada semua yang berhak, isu kemiskinan yang tidak pernah lenyap, ketidak puasan hati penerima bantuan dan pelbagai lagi.

LZS telah melantik En. Ahmad Mustoffa selaku wakil dan beliau mengalungkan ucapan terima kasih kepada JZNK atas kesudian JZNK menerima kunjungan LZS. Beliau menegaskan bahawa lawatan kerja LZS bertujuan untuk mendapatkan pendedahan berkaitan operasi agihan dan kutipan zakat yang dilaksanakan di negeri Kedah.

Delegasi LZS kemudiannya dibawa berkunjung ke Bengkel Jahitan Asnaf JZNK yang merupakan antara projek pembangunan asnaf JZNK. Kami juga dibawa ke PUSBA.

Apakah PUSBA? Ia adalah singkatan kepada Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA). Awalnya ia dikenali sebagai Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru (PUSBA) yang bermatlamat menyediakan ruang dan kemudahan khsusus kepada kalangan saudara baru mendalami agama Islam.

Pembangunan PUSBA ini telah bermula pada 21 April 2003 dan telah siap sepenuhnya pada 14 Mei 2005 dengan kos sebanyak RM 3, 226, 721.70 yang menggunakan peruntukkan daripada JZNK.

Hingga kini, PUSBA dibiayai sepenuhnya oleh JZNK dan operasinya dijalankan oleh kakitangan lantikan Majlis Agama Islam Kedah. Kami didedahkan mengenai aktiviti di sini dan sempat berinteraksi dengan kalangan tenaga penggerak yang juga terdiri daripada kalangan saudara baru. Sehingga kini PUSBA menampung ramai pelajar mualaf termasuklah dari Selangor dalam mempersiapkan diri mereka demi mendepani hari-hari baharu yang pastinya amat mencabar.

Usai solat Zuhur berjamaah secara jamak dan qasar di surau PUSBA, kami meneruskan agenda untuk ke Perlis pula. (Bersambung)